Satu lagi tempat menarik di Jerantut berkonsepkan alam semulajadi yang saya cadangkan ialah Taman Warisan Gua Kota Gelanggi. Beberapa buah gua seperti Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Tongkat, Gua Kelawar, Gua Kota Balai dan Gua Penyu termasuk di dalam kawasan Taman Warisan ini. Tahukah anda di tempat inilah yang terkenal dengan mitos Sang Kelembai.
Selain berjalan kaki, anda juga boleh memasuki gua-gua ini dengan kereta. Jika anda meneroka gua ini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang, di dalamnya terdapat alur air yang mengalir air jernih lagi sejuk. Taman ini mula dibuka pada jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari. Bayarannya pula seharga RM 5 bagi dewasa dan RM 3 bagi kanak- kanak.
Air terjun Lata Meraung ini sememangnya cukup terkenal di Jerantut dan tidak hairanlah jika ia tergolong sebagai salah satu tempat menarik di Jerantut. Air terjun yang terletak di Hutan Lipur Lata Meraung ini terletak 16 km dan hanya mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan sahaja untuk sampai ke sini jika anda datang dari Bandar Jerantut.
Anda dapat bersantai sambil bermandi manda di sini memandangkan suasananya yang dingin, tenang dan damai. Bukan sahaja suasananya yang berlatar belakangkan alam semulajadi dapat menambat hati pengunjung bahkan airnya yang bersih, jernih serta sejuk membuatkan sesiapa sahaja melihatnya ingin terjun berenang.Tak dilupakan juga, kawasan ini menyediakan kemudahan yang lengkap seperti tandas, tempat letak kereta dan rumah rehat buat pengunjung.
Jangan menyangka bahawa hanya Shah Alam sahaja mempunyai I City tetapi Jerantut juga tak kalah hebatnya. Tempat menarik di Jerantut yang disinari lampu berwarna-warni ini merupakan taman permainan dan taman rekreasi terbaru di daerah Jerantut.
Taman permainan yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut ini berjaya menambat hati para pengujung untuk datang bersantai bersama keluarga pada waktu malam. Lampu-lampu pada waktu malam adalah tarikan tempat ini terhadap pengunjung.
Majlis Daerah Jerantut berjaya menyediakan kawasan santai dan rehat ini dengan segala kemudahan. Macam-macam aktiviti di sini yang wajib anda cuba seperti kereta api mini, buaian besar yang dikenali sebagai eye on Jerantut dan juga tidak ketinggalan gerai-gerai untuk anda menjamu selera.