Sejarah asal usul Jerantut

Sepanjang yang diketahui mengikut cerita dan sejarahnya nama Jerantut telah disebut dan digunapakai semenjak zaman dahulu kala iaitu pada masa sebelum pemerintahan Sultan Ahmad (Wan Ahmad) Sultan Pahang yang pertama. Sultan Ahmad menaiki takhta memerintah Negeri Pahang selepas selesai perang saudara di antara Wan Ahmad dengan Tun Mutahir di Pulau Tawar. Wan Ahmad mengatur strategi dan menyerang Pekan dengan bantuan padu dan tenaga yang banyak dan kuat untuk menawan Pulau Tawar dari dikuasai Tun Mutahir, apabila mendapat sokongan besar orang-orang besar kawasan dan ketua-ketua penduduk tempatan dari berbagai puak dan lapisan yang setia kepadanya dari semua kawasan sebelah Ulu Pahang, iaitu dari kawasan Temerloh dan Semantan yang diketuai oleh Pahlawan Dato' Bahaman, dari kawasan Lipis, Jelai dan Semantan Ulu Raub diketuai Dato’ Raja Jelai Wan Mahmud dan dari kawasan Jerantut dan sekitarnya diketuai oleh Dato’ Gajah Iman Rasu Abdul Salam atau Tok Gajah.

1)    Berdasarkan cerita orang tua-tua bahawa asal usul perkataan "Jerantut" adalah berasal dari perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut". Beliau dilihat sering mengail di kawasan jeram di tengah-tengah Sungai Pahang.

2)    Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" ,pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Kuantan dan rentetan dari itu,mulai tahun 1914 nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut".

(Sumber: Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut)