Info Sejarah,Makam dan Kisah Lubuk Pelang,Bukit Ketupat,Jerantut.

Lubuk Pelang,Kg Bukit Ketupat,banyak sekali kisah sejarahnya.Makam Diraja,kisah pahlawan dan seribu satu kisah berkenaan Lubuk Pelang.  Berhampiran lubuk ini terdapat sebuah bukit tinggi dan terdapat tiga buah makam di terletak berhampiran satu sama lain. Makam ini terletak berhampiran Kampung Jerangsang . Difahamkan makam ini adalah makam Sultan Abdul Jamil,Puteri Buluh Betung dan adindanya,Datuk Budiman. Kemangkatan mereka berkaitan dengan serangan Acheh pada tahun 1617. Ketika Sultan Abdul Jamil memerintah Pahang, terdapat seorang batin  di Sungai Tekam,kira-kira 8 km dari Lubuk Pelang telah mendapat seorang puteri yang berdarah putih dari buluh betung.

Baginda dan rombongannya memudik ke hulu sungai Pahang dan berhenti di beberapa tempat dan akhirnya di Lubuk Pelang. Oleh kerana kawasan itu sangat menarik pandangannya dan strategik dari segi keselamatan,baginda memutuskan untuk membina istana di atas sebuah bukit. Sementara itu,rombongan baginda mudik ke Sungai Tekam untuk menemui batin.  Kemudian mereka telah membawa batin dan Puteri Buluh Betong ke istana dan dikahwinkan dengan Sultan Abdul Jamil.

Datuk Ahmad telah memulakan perjalanan memudik ke Pekan dan seterusnya ke Acheh untuk menghadiahkan sehelai rambut Puteri Buluh Betong kepada Mahkota Alam pemerintah Acheh sempena ulang tahun keputeraan baginda. Akibatnya Mahkota Alam tertarik dengan Puteri Buluh Betung dan pergi ke Pahang untuk merebut tuan puteri.Baginda telah membawa bersamanya tiga pasang batu nisan yang diperbuat dari batu yang dipahat. Baginda berpesan jika baginda tewas,hendaklah baginda dimakamkan di Pahang. Nisan tersebut akan menjadi tanda supaya keturunan baginda dapat dikesan. Jika Sultan Abdul Jamil yang tewas,baginda akan dimakamkan dengan batu nisan yang dibawanya.

Setelah peperangan tamat,Sultan Abdul Jamil telah tewas. Datuk Budiman turut tewas dan Puteri Buluh Betong mengambil keputusan untuk membunuh diri. Puteri Buluh Betong berpesan supaya dimakamkan di sisi Sultan Abdul Jamil dan Datuk Budiman. Belum sempat membunuh diri,berlaku pergelutan dan  pedang Mahkota Alam secara tidak sengaja telah menikam jantung tuan puteri Buluh Betong dan mengalirlah darah putih. Jenazah Sultan Abdul Jamil dan Datuk Budiman dimakamkan berhampiran,kepala mereka menghadap ke Sungai Pahang.Sultan Abdul Jamil di sebelah kanan dan Datuk Budiman di sebelah kiri baginda. Puteri Buluh Betong dimakamkan di hujung kaki mereka.Ketiga-tiga makam ini menggunakan batu nisan yang dibawa dari Acheh oleh Mahkota Alam dan diabadikan sehingga kini.

Sumber: akuanakpahang.blogspot.my